Lebih 27,000 Panjut Terangi Kuala Kangsar, 21 Penyertaan Meriahkan Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026

Kuala Kangsar, Perak – Kerajaan Negeri Perak melalui Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, telah menganjurkan Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026.

Pesta yang dianjurkan secara pertandingan ini, telah selesai sesi penjurian pada 15 Mac 2026 (Ahad), semalam, bersamaan 25 Ramadan 1447H.

Semalam, dianggarkan sekitar 10,000 kehadiran pengunjung termasuk pelancong antarabangsa. Pada malam ini pula, dianggarkan jumlahnya bertambah ke 20,000 pengunjung.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah pada malam ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri Perak.

Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 ini berjaya menghimpunkan 21 penyertaan melibatkan lapan agensi kerajaan dan NGO serta 13 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar Kuala Kangsar.

Sepanjang pesta berlangsung, sebanyak 27,830 pelita panjut telah digunakan oleh semua peserta bagi menghasilkan pelbagai bentuk dan struktur hiasan yang kreatif. Ada yang menggunakan barangan kitar semula seperti tin minuman dan minuman.

Hadiah keseluruhan kemenangan malam ini bagi kategori agensi/ NGO dan JPKK adalah berjumlah RM 24,000.00, manakala jumlah hadiah saguhati sumbangan penyertaan adalah berjumlah RM 9,000.00.

Ribuan panjut yang dinyalakan telah menerangi kawasan sekitar Kuala Kangsar sekali gus mewujudkan suasana malam yang meriah dan memukau. Peserta menampilkan pelbagai tema berteraskan identiti dan warisan tempatan seperti Masjid Ubudiah, Istana Kenangan, Istana Iskandariah, Labu Sayong, Menara Jam Besar serta rumah tradisional Melayu, selain elemen budaya dan simbol kebanggaan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.

Seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, Negeri Perak menyasarkan ketibaan 10.5 juta pelancong domestik dan 1.1 juta pelancong antarabangsa. Penganjuran acara pelancongan seperti ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri Perak untuk terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan yang menawarkan pengalaman budaya yang unik.

Penganjuran program ini diharap dapat terus menjadi acara tahunan yang memperkukuh warisan budaya, memupuk semangat kebersamaan komuniti serta memperkasa identiti Kuala Kangsar sebagai bandar yang kaya dengan tradisi dan budaya.

mpkk-logo
  • Majlis Perbandaran Kuala Kangsar

  • Wisma MPKK, Jalan Sultan Nazrin Shah, 33000, Kuala Kangsar

  • pentadbiran[at]mpkkpk.gov.my

  • 05 - 210 2266 (Hotline)

  • 05 - 776 3199

  • 05 - 777 3199

Hakcipta Terpelihara © 2022 Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Kemaskini : 18/03/26 • Jumlah Pelawat : 21286928
Kembali Ke Atas