Pokok Merbau

Nama Tempatan

Pokok Merbau

Nama Saintifik

Instia Palembanica

Info Menarik

Pokok Merbau merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Nama botani pokok ini ialah Intsia palembanica Miq. Pohon ini dibezakan dengan pokok saudara, I. bijuga berdasarkan jumlah anak dedaun yang membentuk daun majmuk.

Nama saintifik bagi pokok ini, Instia palembanica, berasal daripada transliterasi Latin bagi India dan Palembang masing-masing, dengan Palembang merupakan tempat spesimen asal diambil.

Spesies ini didapati secara alami di kawasan yang luas, merangkumi Bangladesh ke Papua New Guinea - ini termasuk Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia, Sumatra, Borneo, Sulawesi, Kepulauan Sunda, Kepulauan Maluku dan New Guinea. Spesies ini ada dibawa ke Kepulauan Andaman. Pokok ini ialah pokok hutan hujan tropika dan wujud dalam julat ketinggian besar, dari kawasan tanah rendah hingga kawasan pergunungan berketinggian lebih 1,000 meter.

Merbau ialah sejenis pokok saka malar hijau dengan ketinggian boleh mencecah 50 meter. Daun majmuk pinat spesies ini lazimnya memiliki empat pasang anak daun, dengan daun majmuk berpasang dua, tiga atau lima jarang berlaku. Bahagian kayu gubal adalah jelas dengan kelebaran mencapai tiga inci.

Kayu merbau lazim digunakan sebagai kayu bahan binaan, dan merupakan salah satu kayu-kayu balak utama Malaysia. Antara ciri-ciri yang menyebabkan kayu ini masyhur sebagai bahan binaan termasuk ketahanan dalam pelbagai cuaca, kurang kecacatan serta kadar pengecutan kayu yang rendah. Berdasarkan kajian saintifik, kayu ini juga memiliki ketahanan yang kuat terhadap serangan anai-anai.

Terdapat beberapa kajian ilmiah yang melihat potensi bahan-bahan kimia dalam merbau seperti etil asetat dan sebatian flavonoid untuk digunakan dalam beberapa bidang seperti antioksidan, agen pemutih kulit dan pengekangan bakteria jerawat.

Pada 23 Ogos 2019, pokok merbau telah diumumkan secara rasmi sebagai pokok kebangsaan Malaysia.

mpkk-logo
  • Majlis Perbandaran Kuala Kangsar

  • Wisma MPKK, Jalan Sultan Nazrin Shah, 33000, Kuala Kangsar

  • 05 - 776 3199

  • 05 - 777 3199

  • pentadbiran[at]mpkkpk.gov.my

Hakcipta Terpelihara © 2022 Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Kemaskini : 16/10/24 • Jumlah Pelawat : 21286928
Kembali Ke Atas